Sunday, July 27, 2008

Si Penenun yang Berjasa


Pada zaman dahulu, ada sepasang suami isteri. Namanya Pak Ahmad dan Mak Siti. Mereka sudah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak. Akhirnya mereka mengambil seorang anak angkat. Namanya Melur.
Melur seorang gadis yang rajin. Dia selalu membantu ibu dan bapa angkatnya di sawah. Pagi-pagi lagi Melur sudah bangun. Dia menyiapkan sarapan untuk ibu dan bapa angkatnya. Kemudian mereka sama-sama pergi ke sawah.
Pada suatu ketika, kampung mereka dilanda kemarau. Sawah mereka menjadi kering kontang. Semua tanaman penduduk kampung mati. Pak Ahmad dan Mak Siti susah hati kerana beras mereka sudah habis.
Tiba-tiba Melur menghampiri mereka, “mak dan ayah janganlah bersedih. Melur akan menolong mak dan ayah. Tetapi mak dan ayah mesti berjanji bahawa tidak akan melihat apa yang Melur lakukan,” kata Melur kepada Pak Ahmad dan Mak Siti pada suatu malam.
“Apakah yang akan Melur lalukan?” Tanya Pak Ahmad dan Mak Siti serentak. Mereka berdua berpandangan. “Kalau begitu, baiklah, Melur,” kata Mak Siti. Melur gembira.
Melur pun masuk ke biliknya. Dia mengunci pintu. Dia berharap kedua-dua ibu bapa
Angkatnya tidak melihat apa yang dilakukannya itu.
Keesokan harinya, Melur mendapatkan Pak Ahmad dan Mak Siti. “Mak, ambillah kain sutera ini. Mak pergilah ke pekan dan menjualnya,” kata Melur sambil menghulurkan sehelai kain sutera putih kepada Mak Siti.
Mak Siti pun pergi ke pekan untuk menjual kain sutera itu. Seorang saudagar telah membeli kain sutera itu dengan harga yang mahal. Saudagar itu meminta Mak Siti membawa kain-kain sutera itu lagi.
Mak Siti pun pulang ke rumahnya dengan gembira. Wang itu telah digunakan untuk membeli barang-barang keperluan mereka sekeluarga.
Pada esoknya, Melur datang lagi sambil menghulurkan kepada Mak Siti. Mak Siti berasa kagum bercampur hairan. Lalu dia mengmabil kain sutera itu dan membawanya ke pekan untuk dijual kepada saudagar itu lagi.
Pada malamnya, Mak Siti bercakap-cakap dengan Pak Ahmad di bilik mereka. “Saya hairan bagaimana Melur dapat menenun kain itu. Tenunannya sungguh halus,” kata Mak Siti. “Marilah kita intai dan tengok bagaimana Melur menenunnya,” kata Mak Siti mengajak Pak Ahmad.
Pak Ahmad juga teringin melihatnya. Mereka pun berjalan perlahan-lahan dan mengintai Melur melalui celah-celah dinding biliknya.
Alangkah terperanjatnya mereka apabila melihat seekor bangau sedang tekun menenun. “Bangau!” Mak Siti terjerit. Dia memandang ke arah Pak Ahmad.
Bangau jelmaan di dalam bilik tersebut mendengar jeritan Mak Siti itu. Dia pun menangis teresak-esak. Lalu dia pun berjalan ke arah Mak Siti dan Pak Ahmad. Dia menghulurkan kain sutera yang baru ditenunnya. Tangisannya semakin kuat.
“Mengapakah mak dan ayah melanggar pesanan saya?” Tanya bangau itu. “Kalau begitu, inilah kain sutera terakhir yang dapat saya tenun untuk mak dan ayah,” kata bangau jelmaan itu.
“Siapakah kamu?, Tanya Mak Siti. “Mungkin mak dan ayah sudah lupa. Suatu waktu dahulu, mak dan ayah pernah menyelamatkan seekor bangau yang tercedera sehingga sembuh. Sayalah bangau tersebut. Saya datang untuk membalas jasa mak dan ayah.!”
“Maafkanlah mak, Melur,” kata Mak Siti. “Janganlah tinggalkan mak dan ayah, Melur,” Mak Siti merayu. Dia benar-benar menyesal.
“Tidak boleh mak. Melur terpaksa pergi,” kata Melur. Keesokan harinya, bangau jelmaan itu pun terbang jauh dari situ. Mak Siti dan Pak Ahmad menyesal tidak terkira. Mereka benar-benar sedih atas kehilangan Melur.

(Sumber : Diubahsuai daripada Siri Cerita Klasik; Cempaka dan Sutera Putih, Mind to Mind Malaysia Sdn. Bhd.)