Sunday, July 27, 2008

Unta & Beruang



Seekor unta sedang berbahas dengan seekor beruang.
Si unta berkata, “Adalah paling baik dengan adanya susuk badan yang tinggi. Kita berasa diri sendiri berada pada kedudukan tinggi yang mengatasi segala-galanya.”
Si beruang berasa tidak puas hati lalu menyampuk, “Dengan susuk badan yang pendek adalah paling baik kerana senang menyembunyikan diri daripada musuh.”
“Apa kata kalau kita mencari orang lain untuk mengadili hal ini. Lihatlah sama ada susuk badan yang tinggi ataupun susuk badan yang pendek yang lebih baik.”
Si beruang bersetuju dengan cadangan si unta.
Mereka berdua berjalan ke sebuah taman botani. Taman tersebut dikelilingi oleh tembok yang rendah. Si unta berdiri di tepi tembok. Ia menghulur lehernya yang panjang melepasi tembok. Ia makan banyak tumbuh-tumbuhan di dalam taman sebagai makan tengah harinya.
Kemudian si unta mengejek si beruang, “Betulkah kata-kata aku? Susuk badan yang tinggi sememangnya membawa manfaat kepada aku!”
Si beruang berdiri di situ dan ketinggiannya cuma di bawah aras puncak tembok. Susuk badannya yang pendek itu menyebabkan dia tidak dapat melihat pemandangan yang cantik di dalam taman tersebut.
Tidak lama kemudian, mereka melalui taman botani yang sebuah lagi. Taman tersebut dipagari oleh tembok yang tinggi. Terdapat sebuah pintu kecil yang rendah sahaja pada tembok itu. Si beruang memasuki taman berkenaan menerusi pintu kecil tersebut. Si unta tidak dapat memasuki taman itu.
Si beruang makan tumbuh-tumbuhan di dalam taman tersebut sepuas-puasnya. Kemudian ia keluar dari taman lalu tersenyum sambil berkata kepada si unta, :Apa pendapat kau sekarang? Susuk badan yang tinggi lebih baik atau susuk badan yang pendek lebih baik?”
Kedua-dua ekor haiwan tersebut saling berpandangan lalu berkata serentak, “Sama ada susuk badan yang tinggi ataupun susuk badan yang pendek, kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing.”
Dengan itu, tidak perlulah mereka mencari pengadil lagi dalam hal tersebut.

Moral : Setiap orang mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri

(Sumber : Dicerita semula oleh Sulaiman Zakaria, Fabel dari India Purba, Klasik Arowana : Penerbit Arowana Sdn. Bhd.,Kuala Lumpur, 2002, hlm. 73-75)

No comments: