Sunday, July 27, 2008

Si Penenun yang Berjasa


Pada zaman dahulu, ada sepasang suami isteri. Namanya Pak Ahmad dan Mak Siti. Mereka sudah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak. Akhirnya mereka mengambil seorang anak angkat. Namanya Melur.
Melur seorang gadis yang rajin. Dia selalu membantu ibu dan bapa angkatnya di sawah. Pagi-pagi lagi Melur sudah bangun. Dia menyiapkan sarapan untuk ibu dan bapa angkatnya. Kemudian mereka sama-sama pergi ke sawah.
Pada suatu ketika, kampung mereka dilanda kemarau. Sawah mereka menjadi kering kontang. Semua tanaman penduduk kampung mati. Pak Ahmad dan Mak Siti susah hati kerana beras mereka sudah habis.
Tiba-tiba Melur menghampiri mereka, “mak dan ayah janganlah bersedih. Melur akan menolong mak dan ayah. Tetapi mak dan ayah mesti berjanji bahawa tidak akan melihat apa yang Melur lakukan,” kata Melur kepada Pak Ahmad dan Mak Siti pada suatu malam.
“Apakah yang akan Melur lalukan?” Tanya Pak Ahmad dan Mak Siti serentak. Mereka berdua berpandangan. “Kalau begitu, baiklah, Melur,” kata Mak Siti. Melur gembira.
Melur pun masuk ke biliknya. Dia mengunci pintu. Dia berharap kedua-dua ibu bapa
Angkatnya tidak melihat apa yang dilakukannya itu.
Keesokan harinya, Melur mendapatkan Pak Ahmad dan Mak Siti. “Mak, ambillah kain sutera ini. Mak pergilah ke pekan dan menjualnya,” kata Melur sambil menghulurkan sehelai kain sutera putih kepada Mak Siti.
Mak Siti pun pergi ke pekan untuk menjual kain sutera itu. Seorang saudagar telah membeli kain sutera itu dengan harga yang mahal. Saudagar itu meminta Mak Siti membawa kain-kain sutera itu lagi.
Mak Siti pun pulang ke rumahnya dengan gembira. Wang itu telah digunakan untuk membeli barang-barang keperluan mereka sekeluarga.
Pada esoknya, Melur datang lagi sambil menghulurkan kepada Mak Siti. Mak Siti berasa kagum bercampur hairan. Lalu dia mengmabil kain sutera itu dan membawanya ke pekan untuk dijual kepada saudagar itu lagi.
Pada malamnya, Mak Siti bercakap-cakap dengan Pak Ahmad di bilik mereka. “Saya hairan bagaimana Melur dapat menenun kain itu. Tenunannya sungguh halus,” kata Mak Siti. “Marilah kita intai dan tengok bagaimana Melur menenunnya,” kata Mak Siti mengajak Pak Ahmad.
Pak Ahmad juga teringin melihatnya. Mereka pun berjalan perlahan-lahan dan mengintai Melur melalui celah-celah dinding biliknya.
Alangkah terperanjatnya mereka apabila melihat seekor bangau sedang tekun menenun. “Bangau!” Mak Siti terjerit. Dia memandang ke arah Pak Ahmad.
Bangau jelmaan di dalam bilik tersebut mendengar jeritan Mak Siti itu. Dia pun menangis teresak-esak. Lalu dia pun berjalan ke arah Mak Siti dan Pak Ahmad. Dia menghulurkan kain sutera yang baru ditenunnya. Tangisannya semakin kuat.
“Mengapakah mak dan ayah melanggar pesanan saya?” Tanya bangau itu. “Kalau begitu, inilah kain sutera terakhir yang dapat saya tenun untuk mak dan ayah,” kata bangau jelmaan itu.
“Siapakah kamu?, Tanya Mak Siti. “Mungkin mak dan ayah sudah lupa. Suatu waktu dahulu, mak dan ayah pernah menyelamatkan seekor bangau yang tercedera sehingga sembuh. Sayalah bangau tersebut. Saya datang untuk membalas jasa mak dan ayah.!”
“Maafkanlah mak, Melur,” kata Mak Siti. “Janganlah tinggalkan mak dan ayah, Melur,” Mak Siti merayu. Dia benar-benar menyesal.
“Tidak boleh mak. Melur terpaksa pergi,” kata Melur. Keesokan harinya, bangau jelmaan itu pun terbang jauh dari situ. Mak Siti dan Pak Ahmad menyesal tidak terkira. Mereka benar-benar sedih atas kehilangan Melur.

(Sumber : Diubahsuai daripada Siri Cerita Klasik; Cempaka dan Sutera Putih, Mind to Mind Malaysia Sdn. Bhd.)

Unta & Beruang



Seekor unta sedang berbahas dengan seekor beruang.
Si unta berkata, “Adalah paling baik dengan adanya susuk badan yang tinggi. Kita berasa diri sendiri berada pada kedudukan tinggi yang mengatasi segala-galanya.”
Si beruang berasa tidak puas hati lalu menyampuk, “Dengan susuk badan yang pendek adalah paling baik kerana senang menyembunyikan diri daripada musuh.”
“Apa kata kalau kita mencari orang lain untuk mengadili hal ini. Lihatlah sama ada susuk badan yang tinggi ataupun susuk badan yang pendek yang lebih baik.”
Si beruang bersetuju dengan cadangan si unta.
Mereka berdua berjalan ke sebuah taman botani. Taman tersebut dikelilingi oleh tembok yang rendah. Si unta berdiri di tepi tembok. Ia menghulur lehernya yang panjang melepasi tembok. Ia makan banyak tumbuh-tumbuhan di dalam taman sebagai makan tengah harinya.
Kemudian si unta mengejek si beruang, “Betulkah kata-kata aku? Susuk badan yang tinggi sememangnya membawa manfaat kepada aku!”
Si beruang berdiri di situ dan ketinggiannya cuma di bawah aras puncak tembok. Susuk badannya yang pendek itu menyebabkan dia tidak dapat melihat pemandangan yang cantik di dalam taman tersebut.
Tidak lama kemudian, mereka melalui taman botani yang sebuah lagi. Taman tersebut dipagari oleh tembok yang tinggi. Terdapat sebuah pintu kecil yang rendah sahaja pada tembok itu. Si beruang memasuki taman berkenaan menerusi pintu kecil tersebut. Si unta tidak dapat memasuki taman itu.
Si beruang makan tumbuh-tumbuhan di dalam taman tersebut sepuas-puasnya. Kemudian ia keluar dari taman lalu tersenyum sambil berkata kepada si unta, :Apa pendapat kau sekarang? Susuk badan yang tinggi lebih baik atau susuk badan yang pendek lebih baik?”
Kedua-dua ekor haiwan tersebut saling berpandangan lalu berkata serentak, “Sama ada susuk badan yang tinggi ataupun susuk badan yang pendek, kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing.”
Dengan itu, tidak perlulah mereka mencari pengadil lagi dalam hal tersebut.

Moral : Setiap orang mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri

(Sumber : Dicerita semula oleh Sulaiman Zakaria, Fabel dari India Purba, Klasik Arowana : Penerbit Arowana Sdn. Bhd.,Kuala Lumpur, 2002, hlm. 73-75)

Thursday, July 24, 2008

Burung Bangau Dengan Seekor Ketam




Pada zaman dahulu terdapat sebuah tasik yang sangat indah. Airnya sungguh jernih dan di dalamnya ditumbuhi oleh pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang masa. Suasana di sekitar tasik tersebut sungguh indah. Pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya hidup dengan subur. Banyak burung yang tinggal di kawasan sekitar tasik tersebut. Salah seekornya adalah burung bangau.
Manakala di dalam tasih hidup bermacam-macam ikan dan haiwan lain. Ada ikan telapia sepat, kelah, keli, haruan dan bermacam-macam ikan lagi. Selain daripada ikan,terdapat juga ketam dan katak yang turut menghuni tasih tersebut. Burung bangau sangat suka tinggal di kawasan tasik tersebut kerana ia senang mencari makan. Ikan-ikan kecil di tasik tersebut sangat jinak dan mudah ditangkap. Setiap hari burung bangau sentiasa menunggu di tepi tasik untuk menagkap ikan yang datang berhampiran dengannya.
Beberapa tahun kemudian burung bangau semakin tua. Ia tidak lagi sekuat dulu untuk menangkap ikan. Kadang- kadang ia tidak memperolehi ikan untuk dimakan menyebabkan ia berlapar seharian. Ia berfikir di dalam hatinya seraya berkata "Kalau beginilah keadaanya, aku akan mati kelaparan kerana tidak lagi berdaya untuk menangkap ikan. Aku mesti mencari jalan supaya aku dapat memperolehi makanan dengan mudah".
Burung bangau mendapat idea dan berpura-pura duduk termenung dengan perasan sedih di tebing tasik. Seekor katak yang kebetulan berada di situ ternampak bangau yang sangat murung dan sedih lalu bertanya "Kenapakah aku lihat akhir-akhir ini kamu asik termenung dan bersedih sahaja wahai bangau?". Bangau menjawab " Aku sedang memikirkan keadaan nasib kita dan semua penghuni tasih ini." "Apa yang merunsingkan kamu, sedangkan kita hidup di sini sudah sekian lama tidak menghadapi sebarang masalah." Jawab katak.
"Awak manalah tahu, aku sering terbang ke sana ke mari dan mendengar manusia sedang berbincang tentang bencana kemarau yang akan menimpa kawasan ini dalam beberapa bulan lagi. Kau lihat sajalah sejak akhir-akhir ini hari panas semacam aje, hujan pun sudah lama tidak turun". Bangau menyambung lagi "Aku khuatir tasik ini akan kering dan semua penghuni di tasik ini akan mati." Katak mengangguk- ngangukkan kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan hujah bangau tadi. Tanpa membuang masa katak terus melompat ke dalam tasik untuk memaklumkan kepada kawan-kawan yang lain.
Berita bencana kemarau telah tersebar ke seluruh tasih begitu cepat dan semua penghuni tasik berkumpul ditebing sungai dimana bangau berada. Masing-masing riuh rendah menanyakan bangau akan berita tersebut. Seekor ikan haruan bertanya kepada bangau "Apakah cadangan engkau untuk membantu kami semua?" Burung bangau berkata "Aku ada satu cadangan, tetapi aku khuatir kamu semua tidak bersetuju." "Apakah cadangan tersebut" kata haruan seolah-olah tidak sabar lagi mendengarnya.
Bangau berkata " Tidak jauh dari sini ada sebuah tasik yang besar dan airnya dalam, aku percaya tasik tersebut tidak akan kering walaupun berlaku kemarau yang panjang." "Bolehkah engkau membawa kami ke sana" sampuk ketam yang berada di situ. "Aku boleh membawa kamu seekor demi seekor kerana aku sudah tua dan tidak berdaya membawa kamu lebih daripada itu" kata burung bangau lagi.. Mereka pun bersetuju dengan cadangan burung bangau.
Burung bangau mula mengangkut seekor demi seekor ikan daripada tasik tersebut, tetapi ikan- ikan tersebut tidak dipindahkan ke tasik yang dikatakannya.Malahan ia membawa ikan-ikan tersebut ke batu besar yang berhampiran dengan tasik dan dimakannya dengan lahap sekali kerana ia sudah tidak makan selama beberapa hari. Setelah ikan yang dibawanya dimakan habis, ia terbang lagi untuk mengangkut ikan yang lain.
Begitulah perbuatanya sehingga sampai kepada giliran ketam. Oleh kerana ketam mempunyai sepit ia hanya bergantung pada leher burung bangau dengan menggunakan sepitnya. Apabila hampir sampai ke kawasan batu besar tersebut,ketam memandang ke bawah dan melihat tulang-tulang ikan bersepah di atas batu besar. Melihat keadaan tersebut ketam berasa cemas dan berfikir di dalam hatinya "Matilah aku kali ini dimakan oleh bangau." Lalu ia memikirkan sesuatu untuk menyelamatkan dirinya daripada ratahan bangau yang rakus. Setelah tiba di atas batu besar ketam masih lagi berpegang pada leher bangau sambil berkata "Dimanakah tasik yang engkau katakan itu dan kenapa engakau membawa aku di sini?" Bangau pun tergelak dengan terbahak-bahak lalu berkata "Kali ini telah tiba masanya engkau menjadi rezeki aku." Dengan perasaan marah ketam menyepit leher bangau dengan lebih kuat lagi menyebabkan bangau sukar untuk bernafas, sambil merayu minta di lepaskan, ia berjanji akan menghantar ketam kembali ke tasik tersebut. Ketam tidak mempedulikan rayuan bangau malah ia menyepit lebih kuat lagi sehingga leher bangau terputus dua dan bangau mati di situ jua.
Dengan perasaan gembira kerana terselamat daripada menjadi makanan bangau ia bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik sambil membawa kepala bangau. Apabila tiba di tasik, kawan-kawannya masih lagi setia menunggu giliran masing-masing. Setelah melihat ketam sudah kembali dengan membawa kepala bangau mereka kehairanan dan ketam menceritakan kisah yang berlaku. Semua binatang di tasik tersebut berasa gembira kerana mereka terselamat daripada menjadi makanan burung bangau yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Mereka mengucakpan terima kasih kepada ketam kerana telah menyelamatkan mereka semua.

Cerita-cerita Rakyat Asia

Selamat datang ke blog folktales-asia. Blog ini menyediakan cerita-cerita rakyat yang dikumpul secara individu dari negara Malaysia dan juga dari negara-negara asia yang lain. Sekiranya ada sebarang komen yang membina, ianya adalah amat-amat digalakkan. Seandainya pembaca mempunyai cerita-cerita rakyat yang bagus boleh lah e-mailkan ke alamat pandansia@gmail.com. Segala kerjasama dari pembaca diucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Wassalam